Kekangan Bajet atau Tenaga Kerja Dalam Perlaksanaan Dasar
Dalam konteks ini, beliau menegaskan bahawa keperluan peruntukan kewangan tidak boleh ditentukan secara umum, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan skop pelaksanaan, objektif serta impak yang ingin dicapai oleh sesuatu dasar. Jelas beliau lagi, terdapat dasar yang memerlukan peruntukan kewangan yang besar kerana melibatkan pembangunan infrastruktur, penyediaan kemudahan baharu, penambahan aset serta pengambilan anggota. Namun begitu, terdapat juga dasar yang boleh dilaksanakan tanpa memerlukan sebarang peruntukan tambahan kerana hanya melibatkan penambahbaikan proses kerja, penyusunan semula struktur organisasi atau pengukuhan sistem pengurusan dalaman. Berdasarkan pengalaman beliau, kebanyakan dasar yang pernah dilaksanakan lebih tertumpu kepada penambahbaikan pengurusan dan pentadbiran organisasi. Oleh itu, pelaksanaannya tidak memerlukan bajet atau peruntukan kewangan yang khusus. Sebaliknya, kejayaan dasar tersebut lebih bergantung kepada komitmen warga kerja, kerjasama antara bahagian serta keberkesanan penyelarasan dalam organisasi. Justeru itu, beliau tidak pernah berhadapan dengan kekangan bajet yang ketara ketika melaksanakan dasar-dasar berkenaan.
Walaubagaimanapun, beliau turut berkongsi pengalaman mengendalikan dasar yang memerlukan peruntukan kewangan dan sumber manusia tambahan. Ini terjadi sewaktu beliau terlibat dalam pelaksanaan inisiatif penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC). Menurut beliau, pelaksanaan dasar tersebut bukan sahaja memerlukan bajet tambahan bagi tujuan operasi, malah turut melibatkan pertambahan penjawatan. Hal ini berlaku disebabkan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan setiap perkhidmatan dapat disampaikan di bawah satu bumbung tanpa menjejaskan kualiti penyampaian kepada rakyat. Beliau berpandangan bahawa keperluan kewangan bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kejayaan sesuatu dasar. Sebaliknya, kejayaan sesuatu dasar lebih bergantung kepada perancangan yang sistematik, kepimpinan yang berkesan dan kerjasama semua pihak.
LEATSEN
Bersandarkan pengalaman dalam perkhidmatan awam, Encik Shahrul berpandangan bahawa konflik yang besar antara pelaksanaan dasar dengan kehendak masyarakat jarang berlaku. Namun begitu, beliau mengakui terdapat keadaan tertentu apabila kehendak atau permintaan individu tidak dapat dipenuhi. Hal ini disebabkan pihak pengurusan perlu mematuhi dasar, peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Dalam situasi seperti ini, setiap keputusan perlu dibuat secara objektif dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, tanpa dipengaruhi oleh desakan atau kepentingan mana-mana pihak. Beliau menjelaskan bahawa setiap dasar digubal demi kepentingan awam, justeru kepentingan individu tidak dapat diutamakan jika bercanggah dengan matlamat dasar.
Beliau menegaskan bahawa sebagai penjawat awam, setiap tindakan hendaklah berpandukan kepada dasar yang berkuat kuasa serta kepentingan organisasi dan negara, bukannya dipengaruhi oleh tekanan atau tuntutan individu. Sikap berkecuali dan berintegriti amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah adil, telus dan konsisten. Apabila sesuatu permintaan tidak dapat dipenuhi, pihak yang terkesan perlu diberikan penjelasan yang jelas dan telus agar mereka memahami rasional keputusan tersebut. Menurut beliau, penjelasan yang baik bukan sahaja dapat mengurangkan rasa tidak puas hati, malah membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti institusi kerajaan.
Beliau menjelaskan bahawa komunikasi yang profesional merupakan elemen penting dalam memastikan pelaksanaan dasar diterima dengan baik oleh semua pihak. Penjelasan yang disampaikan secara berhemah, disokong dengan fakta serta alasan yang munasabah mampu mengurangkan salah faham dan mengelakkan tercetusnya persepsi negatif terhadap organisasi. Di samping itu, sikap terbuka untuk mendengar pandangan dan kebimbangan pihak yang terkesan turut membantu mewujudkan hubungan yang lebih baik antara organisasi dengan masyarakat. Beliau percaya bahawa komunikasi yang berkesan bukan sekadar menerangkan sesuatu keputusan, tetapi juga membina kepercayaan, meningkatkan penerimaan terhadap dasar kerajaan dan memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan secara lancar tanpa menjejaskan kepentingan awam.