Menurut Encik Shahrul Bin Harun, antara cabaran utama dalam melaksanakan sesuatu dasar ialah tekanan yang datang daripada pelbagai pihak. Beliau menjelaskan bahawa setiap dasar baharu yang diperkenalkan lazimnya akan menerima pelbagai reaksi, khususnya daripada warga kerja di peringkat bawahan yang berasa kurang berpuas hati terhadap perubahan yang ingin dilaksanakan. Penolakan kebiasaannya berpunca daripada kebimbangan terhadap perubahan rutin kerja, tanggungjawab atau kepentingan tertentu.
DO ini
Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa terdapat segelintir individu yang menggunakan pengaruh pegawai lain bagi mempengaruhi pandangan warga organisasi supaya tidak menyokong dasar yang dicadangkan. Lebih mencabar, terdapat juga permintaan khusus daripada segelintir pihak atau golongan berkepentingan yang cuba mempengaruhi pihak pengurusan agar dasar yang telah dirancang tidak diteruskan atau pelaksanaannya ditangguhkan. Tekanan sedemikian memerlukan pemimpin bertindak secara profesional, berpegang teguh kepada prinsip tadbir urus yang baik serta membuat keputusan berdasarkan kepentingan organisasi dan dasar kerajaan, bukannya dipengaruhi oleh kepentingan individu atau kumpulan tertentu. Menurut Encik Shahrul, ketegasan, integriti dan komunikasi yang berkesan merupakan elemen penting bagi memastikan sesuatu dasar dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun berdepan pelbagai cabaran.