Keberkesanan Pelaksanaan Dasar di Lapangan: Cabaran Utama
Tahap Penerimaan Daripada Pihak Yang Terlibat dan Masyarakat
Menurut beliau, cabaran utama pelaksanaan sesuatu dasar ialah tahap penerimaan daripada pihak yang terlibat dan masyarakat. Beliau berpandangan bahawa setiap dasar yang diperkenalkan lazimnya akan menerima pelbagai reaksi, sama ada dalam bentuk sokongan mahupun bantahan. Oleh itu, penerimaan masyarakat merupakan faktor penting yang menentukan keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar.
Beliau menjelaskan bahawa di peringkat organisasi, cabaran tersebut biasanya lebih mudah diuruskan kerana pegawai dan kakitangan perlu mematuhi keputusan yang telah dipersetujui oleh pihak pengurusan tertinggi sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka terhadap organisasi. Walaupun terdapat perbezaan pandangan, pelaksanaan dasar tetap diteruskan mengikut arahan dan prosedur yang telah ditetapkan.
Sebaliknya, bagi dasar yang melibatkan masyarakat umum, cabarannya adalah lebih kompleks kerana setiap individu mempunyai kepentingan dan perspektif yang berbeza. Beliau memberikan contoh isu berkaitan kadar tol dan pinjaman PTPTN yang sering menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat. Sebarang cadangan untuk mengekalkan, mengubah atau memansuhkan dasar tersebut lazimnya akan menerima reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak.
Terdapat pihak yang menyokong perubahan atas alasan meringankan beban rakyat, manakala sebahagian lagi berpendapat bahawa perubahan tersebut perlu mengambil kira aspek kewangan negara, komitmen sedia ada serta kelangsungan penyampaian perkhidmatan awam. Justeru, beliau menegaskan bahawa setiap perubahan dasar perlu disertakan dengan penjelasan yang jelas, telus dan berasaskan fakta agar objektif dasar dapat difahami dengan baik serta meningkatkan tahap penerimaan dalam kalangan pihak berkepentingan dan masyarakat.